KENYATAAN MEDIA
06 APRIL, 2009 (SELASA)
PENDUDUK DIKEJAR, PEMAJU DILEPASKAN.
Saya kerap mendapat aduan dari penduduk pangsapuri yang telah dipotong bekalan air oleh Syabas kerana terdapat bil-bil yang tertunggak. Kadang kala ianya berlaku bukan akibat dari kesalahan penduduk semata-mata kerana bil-bil tersebut adalah yang ditinggalkan oleh pemaju.
Apabila penduduk mengambil alih pentadbiran pangsapuri mereka seperti dengan penubuhan JMB, mereka kadang kala menerima bil air tertunggak yang tidak dibayar oleh pemaju. Penduduk pula tidak dibenarkan membuka akaun baru dengan Syabas sehingga bil tertunggak itu dibayar sepenuhnya.
Terdapat penduduk yang mendapat bil berpuluh-puluh ribu ringgit dan bekalan air mereka akan dipotong jika mereka tidak membayar bil itu.Syabas sepatutnya menuntut bil tersebut dari pemaju bukan dari penduduk. Penduduk pula mesti dibenarkan membuka akaun yang baru.
Mungkin penduduk juga bersalah kerana tidak membayar air yang diguna kepada pemaju dan pemaju seterusnya tidak membayar kepada Syabas. Tetapi pemaju juga bersalah kerana gagal memungut hutang dari penduduk.
Syabas patut membawa pemaju ke mahkamah untuk menuntut hutang dari mereka. Pemaju pula akan menuntut hutang dari penduduk. Ini adalah lebih adil kerana mereka yang selama ini membayar bil-bil air mereka tidak akan dihukum dengan pemotongan bekalan air. Tambahan pula jika bil yang dituntut itu termasuk air yang digunakan oleh pemaju dan bukan oleh penduduk semata-mata. Rekod-rekod adalah pada pemaju maka penduduk akan terus teraniaya.
Pertukaran dari meter pukal ke meter individu atau migrasi pula akan melihat pemotongan bekalan hanya untuk mereka yang tidak membayar bil-bil mereka. Ini adalah lebih adil tetapi proses migrasi ini adalah terlalu lambat. Masih beribu-ribu penghuni perumahan berstrata masih menunggu migrasi dilakukan oleh Syabas. Migrasi ini juga membolehkan penduduk mendapat air percuma di bawah skim Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES.
Kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Syabas agar tunggakan di meter pukal tidak perlu dibayar sekali gus jika penduduk mahu membuat migrasi. Penduduk mesti dibolehkan membayar secara ansuran.
Walau bagaimanapun jika bil-bil tunggakan ini dari ketika pangsapuri itu diuruskan oleh pemaju, Syabas mesti menuntut dari pemaju bukan dari penduduk dan membenarkan penduduk membuka akaun-akaun baru untuk meter individu mereka.
Syabas sekarang dilihat takut untuk menuntut bil-bil dari pemaju dan menuntut dari penduduk kerana penduduk boleh diugut dengan pemotogan bekalan dan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membawa kes mereka ke mahkamah.
Iskandar A. Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
6 April 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment