Sunday, July 12, 2009

Teresa Kok - Raises Our Concern in Parliament

Ucapan Penangguhan YB Teresa Kok (Seputeh) di Dewan Rakyat Pada 29 Jun 2009

Demi menyelesaikan masalah pembeli rumah di projek perumahan strata, Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan pengurusan) 2007 [Akta 663] diwujudkan supaya pembeli dan pemaju boleh menyenggarakan harta bersama sebelum hak milik strata sesebuah bangunan dikeluarkan.

Walaubagaimanapun, banyak kelemahan berlaku sehingga menimbulkan pertelingkahan antara pemaju, pembeli dan Badan Pengurusan Bersama atau JMB selepas Akta 663 dilaksanakan. Akta 663 ini kelihatan tidak mampu menangani isu-isu penyenggaraan harta bersama di projek perumahan strata yang sangat kompleks.

Kelemahan Akta 663 yang ketara adalah seperti berikut:

i) Banyak peruntukan dalam akta ini menggariskan tanggungjawab pemaju dengan jelas tetapi kesalnya, akta ini tidak menetapkan peruntukan yang memberi kuasa kepada Commission of Building (COB) untuk mendakwa pemaju sekiranya pemaju tidak melaksanakan tanggungjawabnya seperti gagal membentangkan akaun audit projek dan sebagainya.

ii) Akta 663 terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Keadaan ini menyebabkan wujudnya keadaan di mana tiada penyelarasan di antara kedua-dua Akta berkaitan. Dengan itu, berlakulah pertindihan tanggungjawab antara JMB di bawah Akta 663 dengan pemilik asal atau pemaju semasa tempoh permulaan di bawah Akta 318, serta tanggungjawab pembeli untuk membayar caj perkhidmatan kepada akaun Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan yang ditadbir di bawah JMB atau Kumpulan Wang Pengurusan yang ditadbir oleh pemaju.

Saya terima banyak keluhan daripada pembeli di mana JMB tidak dapat ditubuhkan di projek pemajuan mereka yang telah membuka buku daftar strata kerana peruntukan Akta 663 telah mengecualikan penubuhan JMB bagi kawasan pemajuan yang telah ditubuhkan Perbadanan Pengurusan (MC) di bawah Akta 318. Ini mengakibatkan hak pembeli untuk terlibat secara langsung dalam urusan penyenggaraan harta bersama tidak dapat diberikan.

Selain itu, perbezaan terma yang digunapakai antara Akta 663 dan Akta 318 juga mengakibatkan kekeliruan apabila JMB dan MC ditubuhkan.

Misalannya, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama terdiri daripada 5 hingga 12 orang di bawah Akta 663 manakala Majlis Perbadanan Pengurusan terdiri daripada 3 hingga 14 orang di bawah Akta 318. Justeru itu, kekaburan dalam Akta 663 perlu dimasukkan dalam Kaedah Akta 663 yang perlu diwujudkan segera oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Saya juga ingin menyarankan, tribunal atau mahkamah khas Pesuruhjaya Bangunan perlu diwujudkan supaya penguatkuasaan yang berkesan dapat dijalankan dan pertikaian yang melibatkan semakan perundangan dapat diselesaikan dengan cepat dan efektif.

Selain itu, saya mencadangkan kerajaan supaya mengambil inisiatif untuk menjadikan lif di projek pemajuan strata kos rendah sebagai infrastruktur dan aset kerajaan melalui kaedah pajakan dan diinsuranskan untuk mengurangkan beban pembeli yang tidak mampu membiayai kos penyenggaraan lif yang sangat tinggi disamping masalah vandalisme yang kerap berlaku.

Rentetan dengan isu pemotongan bekalan air dan elektrik yang hampir berlaku di semua projek pemajuan strata, saya mencadangkan supaya pindaan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] atau Enakmen Pembekalan Air 1997 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dibuat dengan memasukkan peruntukan yang membolehkan pemakaian bil meter air dan elektrik harta bersama dicajkan terus kepada pembeli, supaya setiap pembeli bertanggungjawab terhadap penggunaan air dan elektrik kepada petaknya dan harta bersama, dan pemotongan bekalan air dan elektrik hanya melibatkan pembeli yang tidak membayar bil air dan elektrik.

YB Teresa Kok Suh Sim
Ahli Parlimen Seputeh

JAWAPAN :

Tuan Yang Di-Pertua.

Kementerian sedar mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam peruntukan Akta 663 khususnya berkaitan peruntukan kuasa Pesuruhjaya Bangunan untuk mendakwa pemaju yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Walaubagaimanapun, untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Akta 663 telah menyatakan beberapa peruntukan kuasa pendakwaan kepada Pesuruhjaya Bangunan terhadap pemaju seperti:

1 Seksyen S.5(5)
Kesalahan: Kegagalan menjalankan Mesyuarat Pertama oleh Pemaju
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 2,000.00 atau 3 bulan penjara.

2. Seksyen S.17(7)
Kesalahan: Kegagalan Pemaju menghantar penyata, laporan, akaun dan maklumat berkaitan Akaun Penyelenggaraan Bangunan seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Bangunan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10,000.00 dan tidak lebih daripada RM 100,000.00 dan tambahan RM 1,000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan yang diteruskan selepas sabitan.

3. Seksyen S.20
Kesalahan: Larangan mengutip Caj sebelum pembukaan Akaun Penyelenggaraan Bangunan dan Pemilikan Kosong
Oleh Pemaju atau Badan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi
satu (1) tahun atau kedua-duanya.

4. Seksyen S.21
Kesalahan: Kegagalan Pemaju (bagi projek siap sebelum dan pada 12 April 2007 dan Perbadanan Pengurusan (MC)
belum ditubuhkan) menyerahkan Akaun Penyelenggaraan yang di audit kepada Pesuruhjaya Bangunan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya.

5. Seksyen S.31
Kesalahan: Kegagalan Pemaju mendepositkan Kepada Pesuruhjaya Bangunan bagi Maksud membaiki harta bersama Selepas disiapkan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan tambahan tidak melebihi RM 50.00
setiap hari jika diteruskan selepas sabitan.

Tuan Yang DiPertua,

Kementerian juga sedar mengenai masalah pengurusan yang dihadapi oleh penghuni-penghuni rumah ber strata ini. Oleh yang demikian, Kementerian sedang melakukan beberapa usaha seperti berikut ;

1. Sedang melaksanakan usaha penambahbaikan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Akta 663) dengan menubuhkan Jawatankuasa-Jawatankuasa berkaitan pindaan Akta 663 yang melibatkan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan, Jabatan Kerajaan dan Pesuruhjaya Bangunan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

2. Menubuhkan Jawatankuasa Bersama antara Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian dan Jabatan Perumahan Negara bagi menyelaraskan peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan bangunan yang mempunyai Hakmilik Strata yang terdapat dalam Akta Bangunan dan Harta Bersama (Akta 663) dan Akta Hakmilik Strata (Akta 318). Antara keputusan Jawatankuasa Bersama tersebut adalah menghasilkan dua Akta yang lebih khusus. Akta 663 akan meliputi semua hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan manakala Penyenggaraan Bangunan dan Harta dan Akta Hakmilik Strata akan hanya melibatkan hal-hal berkaitan hakmilik dan pendaftaran hakmilik. Ini bermakna penyelarasan akan dilakukan dengan cara lebih holistik termasuklah penyelarasan daripada segi ;
2.1 Interpretasi
2.2 Pentadbiran
2.3 Terminologi
2.4 Kaedah , peraturan, jadual
2.5 Kuasa pegawai, dan
2.6 Hal-hal lain.

3. Kementerian berpendapat cadangan penubuhan Tribunal pada masa ini tidak perlu kerana segala aduan dan semakan pertikaian boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri masing-masing bagi mendapatkan keputusan.

4. Lif merupakan sebahagian daripada Harta Bersama dalam sesebuah kawasan pemajuan. Pada masa ini tiada hakmilik khusus dikeluarkan kepada mana-mana bangunan dan kawasan harta bersama. Oleh yang demikian, urusan pajakan lif tidak dapat dijalankan. Walaubagaimanapun, peruntukan sedia ada tidak menghalang Badan Pengurusan Bersama (JMB) memasukkan cadangan menginsuran lif sebagai salah satu perbelanjaan pengurusan kawasan pemajuan tersebut.

5. Bagi cadangan pindaan Akta Industri Bekalan Air 2006 (Akta 665) atau Enakmen Pembekalan Air 1997 dan Akta Bekalan Letrik 1990 (Akta 447), ianya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian lain.

1 comment:

shaun said...

Thanks for posting. Condo dwellers may have issues with lift etiquette and maintenance. See the videos I posted. Shaun Kwong - Home Lifts [Alternative Elevator Co] http://www.elevatormalaysia.com